Esei Malaysia Prihatin 2020

 

PERTANDINGAN MENULIS ESEI HARI MALAYSIA 2020

 

“Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai.” Inilah antara bait-bait ucapan Perdana Menteri kesayangan semua, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April 2020. Tahun 2020, dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19 di mana tanah air kita Malaysia juga tidak terkecuali turut terpukul dengan kehadiran wabak baru ini.

“Malaysia Prihatin”. Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020. Dua patah perkataan ini tidak asing lagi buat semua rakyat Malaysia kerana padanya membawa seribu satu cerita dan peristiwa di antara Malaysia dan Covid-19.

Mengenangkan penubuhan Malaysia sejak tahun 1963, tarikh keramat 16 September 2020 melakar sejarah sambutan Hari Malaysia diraikan dalam keadaan sederhana dan norma baharu sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP). Ulang tahun ke-57 pembentukan Malaysia ini diadakan di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak dengan kehadiran hanya 500 tetamu jemputan termasuklah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta kenamaan dari Sabah dan Sarawak. Walaupun Laut China Selatan memisahkan kepulauan semenanjung dan kepulauan Borneo, namun Malaysia tetap berdiri melindungi dan menguruskan negeri-negeri di Tanah Semenanjung, Sabah dan Sarawak daripada belengu Covid-19. Dalam penulisan kali ini, konsep “Malaysia Prihatin” ini akan dibincangkan daripada sudut prihatin kerajaan kepada rakyat, prihatin rakyat kepada kerajaan dan prihatin rakyat kepada rakyat.

Pertama sekali, konsep Malaysia Prihatin membawa cerita keprihatinan kerajaan kepada rakyat. Kerajaan Malaysia telah melakukan banyak perkara yang dapat membantu negara dan rakyat mendepani pandemik Covid-19 terutama sekali semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerajaan telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di mana matlamat pertama pakej ini ialah “Lindungi Rakyat”.

Misalnya, kerajaan telah memberikan Bantuan Prihatin Nasional kepada rakyat. Hal ini demikian kerana, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa perubahan besar kepada kehidupan rakyat Malaysia terutama sekali dalam pekerjaan rakyat. Banyak kedai, syarikat dan tempat ditutup untuk mengelakkan penularan Covid-19 dan rakyat diarah untuk berada di rumah sahaja dalam tempoh PKP. Di bawah bantuan ini, rakyat yang layak akan diberikan bantuan dalam bentuk wang ringgit untuk meringankan beban kesan daripada Covid-19 kepada pendapatan keluarga dan individu. Golongan B40 menerima bantuan sebanyak RM1600 manakala golongan M40 menerima bantuan sebanyak RM1000. Golongan bujang berusia 21 tahun ke atas turut menerima bantuan sebanyak RM800. Usaha ini sekaligus dapat meringankan beban keluarga yang terjejas dari segi sumber kewangan semasa pandemik yang merisaukan ini.

Golongan gelandangan juga turut mendapat manfaat keprihatinan kerajaan sebagai contoh penyediaan dewan serba guna sebagai transit gelandangan ketika tempoh PKP. Warga asing di Malaysia juga dilayan secara berhemah semasa tempoh PKP. Kerajaan Malaysia menghantar balik semua warga asing ke negara asal mereka dengan prosedur yang telah digariskan. Usaha ini bukan sahaja untuk melindungi negara Malaysia, tetapi juga melindungi rakyat negara lain yang sudah menetap di negara kita.

Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) merupakan antara benteng utama dalam membantu negara menangani Covid-19. Kerajaan telah memberi tambahan RM1 bilion kepada KKM untuk pembelian peralatan dan perkhidmatan memerangi Covid-19. Dalam hal ini, terserlah keprihatinan kerajaan kepada rakyat dengan memberi keutamaan dana kepada KKM untuk berkhidmat demi kesihatan rakyat Malaysia. Apa yang perlu dibanggkan ialah usaha kerajaan Malaysia kepada sektor kesihatan ini turut mendapat perhatian dunia di mana Malaysia menduduki tempat kedua selepas Taiwan dalam carta negara terbaik menangani Covid-19.

Kalau dulunya wira askar melayu berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhr demi kedaulatan Malaysia, kini muncul wira baru yang berjuang habis-habisan untuk memerangi Covid-19 dan menyelamatkan rakyat secara keseluruhannya. Merekalah barisan hadapan yang terdiri daripada doktor, petugas kesihatan, askar, polis, kastam dan pertahanan awam. Kerajaan telah memberikan elaun khas kepada petugas barisan khas dan ini tidak lain tidak bukan kerana prihatinnya Malaysia kepada insan-insan yang banyak bekorban demi kesejahteraan negara tercinta.

Betapa prihatin kerajaan Malaysia kepada rakyat dapat dihayati lagi pada pengurusan sistem pendidikan semasa PKP dilaksanakan. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya menghantar pulang pelajar-pelajar di institusi pendidikan tinggi yang terkandas di kampus masing-masing ke kampung halaman mereka semasa tempoh PKP. Dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan saringan kesihatan, seramai 53 ribu pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjaya dihantar pulang ke pangkuan keluarga tersayang. Penghantaran pulang pelajar melibatkan pergerakan pelajar antara negeri-negeri di Semenenanjung, Sabah dan Sarawak. Kementerian PendidikanTinggi (KPT) dan pihak universiti telah memastikan kebajikan pelajar dijaga sepanjang mereka berada di kampus. Kerajaan juga telah memberikan bantuan RM200 kepada pelajar pengajian tinggi untuk membantu para pelajar untuk mengharungi situasi Covid-19.

Usaha yang tidak putus-putus oleh kerajaan Malaysia membantu rakyat turut mendapat balasan manis daripada rakyat. Rakyat Malaysia juga prihatin ke atas situasi kerajaan Malaysia dalam menangani wabak Covid-19. Misalan, rakyat mematuhi arahan PKP dengan sepenuh hati dan saling mengingatkan sesama mereka. Jika terdapat kluster Covid-19 yang memerlukan semua kontak rapat hadir ke hospital, rakyat Malaysia tidak mempunyai apa-apa masalah dalam menyerah diri dan akur dalam perintah kuarantin yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tanpa kepatuhan dan keprihatinan rakyat kepada kerajaan, mustahil bagi Malaysia untuk mengawal kes Covid-19 di Malaysia. Dari segi bantuan peralatan kepada barisan petugas hadapan, rakyat yang mempunyai kepakaran dalam bidang jahitan memberi bantuan dari segi penghasilan Peralatan Perlindunagn Diri (PPE) untuk kegunaan petugas hospital. Terdapat juga rakyat yang memberikan bantuan penyediaan tempat tinggal untuk petugas barisan hadapan yang terpaksa berpisah daripada keluarga mereka.

Sementelahan itu, rakyat yang pelbagai latar belakang ekonomi juga turut mempamerkan keprihatinan sesama rakyat Malaysia. Golongan rakyat yang berkemampuan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat yang terjejas semasa pandemik ini.  Bantuan yang disalurkan termasuklah bantuan wang ringgit, barangan keperluan harian, makanan, minuman, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Golongan rakyat yang memberikan sumbangan ini sangat komited untuk membantu rakyat yang lain kerana mereka sedar Covid-19 ini memberi impak secara berbeza kepada setiap individu. Boleh jadi ada insan yang dibuang kerja ataupun terpisah jauh daripada keluarga pada musim wabak ini.

Akhirulkalam, sesungguhnya tidak dapat dihitung perkara yang perlu disyukuri oleh rakyat Malaysia kerana terpilih untuk lahir di bumi Malaysia ini. Pandemik Covid-19 ini sudah cukup memberi pencerahan kepada dunia bahawa negara Malaysia juga mampu buat yang terbaik dengan sumber negara yang ada setanding dengan negara-negara maju yang lain. Kepada rakyat Malaysia, kita belum menang tetapi kita pasti menang suatu hari nanti. Usah risau, usah gentar. Kita ibarat satu keluarga, kita jaga kita, Malaysia Prihatin, sayangi Malaysiaku!

 

(1059 patah perkataan)


Alhamdulillah, I won the first place in my university level :')

Comments

Popular posts from this blog

Interview Medic UMS 2019

Interview Medic UMS 2017

Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah